Apakah Ujian Psikometrik?
Ujian psikometrik adalah ujian yang digunakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) untuk menilai personaliti, kompetensi, dan kesesuaian calon yang ingin memasuki perkhidmatan awam. Ujian ini dijalankan secara dalam talian dan merupakan sebahagian daripada sistem peperiksaan online SPA3.
Ujian ini tidak mempunyai jawapan betul atau salah, tetapi mengukur trait-trait individu berasaskan pekerjaan, organisasi, dan kerja berpasukan. Ujian ini juga tidak mempunyai markah minima untuk lulus, tetapi bergantung kepada kejujuran, kebolehpercayaan, dan kesahan maklumat yang diberikan oleh calon. Ujian ini merupakan salah satu kaedah penilaian yang holistik yang digunakan oleh SPA, selain daripada ujian pengetahuan, kemahiran, dan temu duga.
Kaedah Penilaian Dalam Urusan Pengambilan
SPA menggunapakai kaedah penilaian yang holistik bagi tujuan menilai aspek sikap, pengetahuan, kompetensi, kemahiran serta personaliti calon-calon untuk menentukan kesesuaian individu bagi tujuan lantikan sesuatu jawatan. Di antara kaedah ujian yang digunakan adalah ujian psikometrik, ujian pengetahuan dan kemahiran kerja, ujian kompetensi serta temu duga.
Apakah Kriteria Penilaian Dalam Ujian Psikometrik?
Bagi konsep ujian psikometrik (penilaian personaliti/kompetensi), ia direkabentuk untuk mengukur trait-trait individu berasaskan keserasian individu terhadap pekerjaan (job-fit), organisasi (organization-fit) serta sifat kerja berpasukan (team-fit).
Data-data penilaian diperolehi melalui kaedah laporan kendiri (self-report) iaitu individu perlu menjawab jujur dan memberikan jawapan yang paling tepat mengenai dirinya. Kaedah ini sama dengan proses temu duga berasaskan kompetensi, cuma yang membezakannya ialah penemuduga akan menyoal secara verbal kepada calon dengan menggunakan soalan-soalan yang piawai yang telah disediakan, manakala ujian psikometrik meminta calon sendiri menjawab secara laporan kendiri (self-report) dengan memberikan respon kepada soalan-soalan atau kenyataan yang telah disediakan secara paparan komputer.
Melalui respon atau jawapan yang telah diberikan oleh calon, sistem komputer akan memproses dan menganalisis data-data jawapan untuk dipadankan dengan kesesuaian seseorang calon dengan ciri-ciri dan kompetensi yang piawai pada sesuatu jenis jawatan.
Adakah Ujian Psikometrik Mempunyai Status Lulus Dan Gagal?
Sama juga seperti penilaian temu duga, kejayaan atau kegagalan individu dalam ujian ini bergantung kepada kejujuran seseorang individu melaporkan tentang dirinya dalam memberikan reaksi mengenai sesuatu perkara yang ditanyakan, di mana aspek kebolehpercayaan dan kesahan maklumat yang diberikan menjadi sebahagian daripada asas penilaian dalam ujian.
Oleh kerana bilangan calon yang memohon sesuatu jawatan itu adalah besar bilangannya, penentuan calon lulus dalam urusan ujian psikometrik juga mengambil kira bilangan calon yang akan dipanggil ke peringkat temu duga iaitu berdasarkan nisbah bilangan kekosongan jawatan dengan bilangan yang ditetapkan untuk dipanggil ke peringkat temu duga, contohnya jika kekosongan ialah 20, maka bilangan calon yang berjaya dipanggil ke peringkat temu duga adalah 200 orang (1:10) iaitu yang terbaik berdasarkan merit skor semua calon yang menduduki ujian.
Sumber dari SPA